10 kakitangan perubatan terbunuh dalam serangan dron ke atas hospital di tengah Sudan

Sekurang-kurangnya 10 kakitangan perubatan dan pentadbiran terbunuh, dan 22 orang awam cedera pada Khamis dalam serangan dron yang menyasarkan Hospital Al-Jabalain di Negeri White Nile, tengah Sudan, kata Kementerian Kesihatan Sudan, lapor Xinhua.

“Sebuah dron milik Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera menyerang Hospital Al-Jabalain, membunuh 10 anggota kakitangan perubatan dan pentadbiran ketika mereka menjalankan tugas kemanusiaan dan mencederakan 22 orang awam,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Antara mangsa ialah ketua pengarah hospital, Dr Hamid Suleiman, yang terbunuh semasa melakukan pembedahan.

Kementerian itu mengutuk apa yang digambarkannya sebagai “penyasaran berterusan terhadap orang awam” dengan menekankan bahawa serangan sedemikian merupakan pelanggaran ketara terhadap norma dan undang-undang antarabangsa.

Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan Kementerian Luar Negeri Sudan menyatakan serangan itu menyasarkan satu-satunya kemudahan kesihatan yang melayani penduduk di kawasan itu, yang secara terang-terangan melanggar undang-undang dan norma antarabangsa dan kemanusiaan.

Konflik berterusan antara Angkatan Tentera Sudan dan RSF, yang bermula pada pertengahan April 2023 telah menyebabkan puluhan ribu kematian dan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal di dalam dan di luar negara, menurut anggaran antarabangsa.

WTO mengesahkan 2,036 orang telah terbunuh dalam 213 serangan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan semasa konflik hampir tiga tahun itu, menurut Xinhua.