Banjir dan tanah runtuh yang teruk di pulau Sumatera Indonesia mengorbankan sekurang-kurangnya 174 orang, menyebabkan hampir 80 orang hilang, dan beribu-ribu orang kehilangan tempat tinggal, berita Anadolu memetik laporan media tempatan pada Jumaat.
Wilayah yang paling teruk terjejas ialah Sumatera Utara dengan 116 maut dan 42 hilang, manakala 23 mangsa disahkan di Sumatera Barat dengan 12 hilang, Lt Jen Suharyanto, ketua Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia, dilapor memberitahu sidang akhbar pada Jumaat, Anadolu memetik Detik News.
Di Aceh, barat laut Sumatera, dilaporkan 35 orang meninggal dunia, dengan 25 lagi masih hilang.
Suharyanto, yang menggunakan satu nama, dilapor berkata angka kematian mungkin meningkat apabila usaha mencari diteruskan, dengan menyatakan bahawa angka yang dikeluarkan pada petang Jumaat hanyalah peringkat awal.
Ilham Abdi, ketua Agensi Komunikasi dan Maklumat Bener Meriah, sebelum ini dilapor berkata sukar untuk menilai tahap kerosakan sepenuhnya kerana kebanyakan kawasan terjejas menghadapi gangguan bekalan elektrik dan gangguan komunikasi.