4 dilaporkan maut dalam nahas pesawat kecil di selatan Brazil

Angka maut akibat nahas pesawat kecil di bandar tepi laut Capao da Canoa, negeri Rio Grande do Sul di selatan Brazil, pada Jumaat meningkat kepada empat orang, kata pihak berkuasa, menurut berita Xinhua.

Pihak berkuasa bomba dilapor berkata, mangsa ialah juruterbang, pembantu juruterbang dan dua orang ahli perniagaan.

Nahas itu dilaporkan berlaku sekitar jam 10:40 pagi waktu tempatan apabila pesawat itu, yang dalam perjalanan ke Ibitinga di negeri Sao Paulo, terhempas ke dalam sebuah restoran tertutup di kawasan perumahan.

Laporan awal dipetik oleh saluran media tempatan Radio Gaucha berkata pesawat enjin tunggal itu terbang pada altitud rendah apabila ia mula kehilangan ketinggian dan terhempas.