Sekurang-kurangnya 79 orang awam, termasuk 43 kanak-kanak, terbunuh dan 38 yang lain cedera dalam serangan dron oleh Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di Kordofan Selatan pada Jumaat, kata pihak berkuasa Sudan, menurut berita Anadolu.
Dalam satu kenyataan, kerajaan negeri Kordofan Selatan dilapor berkata, empat wanita adalah antara mangsa dalam serangan yang menyasarkan bandar Kalogi di barat Sudan.
Ia dilapor berkata, dron itu menembak empat peluru berpandu ke sebuah tadika, hospital dan kawasan padat penduduk di bandar itu, mengecam serangan itu sebagai “jenayah kejam” oleh Pergerakan Pembebasan Rakyat Sudan Utara (SPLM-N) yang bersekutu dengan RSF.
Kerajaan negeri menyeru masyarakat antarabangsa dan kumpulan hak asasi manusia untuk mengambil pendirian tegas untuk menamatkan pencabulan ini, menetapkan RSF sebagai “organisasi pengganas” dan meminta sekutunya bertanggungjawab atas apa yang disifatkannya sebagai “jenayah tidak berperikemanusiaan”, lapor Anadolu.
Tiga negeri Kordofan – Utara, Barat dan Selatan – dilaporkan telah menyaksikan pertempuran sengit selama berminggu-minggu antara tentera dan RSF, menyebabkan puluhan ribu orang melarikan diri.
Daripada 18 negeri Sudan, RSF mengawal kelima-lima negeri di wilayah Darfur di barat, kecuali beberapa bahagian utara Darfur Utara yang kekal di bawah kawalan tentera. Tentera, pada gilirannya, memegang kebanyakan kawasan dari baki 13 negeri di selatan, utara, timur, dan tengah, termasuk ibu negara, Khartoum.
Konflik antara tentera Sudan dan RSF, yang bermula pada April 2023, telah membunuh sekurang-kurangnya 40,000 orang dan menyebabkan 12 juta orang kehilangan tempat tinggal, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia ((WHO), lapor Anadolu.