7 maut, 30 cedera dalam letupan di dalam balai polis di Kashmir dikuasai India

Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan kira-kira 30 yang lain cedera dalam satu letupan besar di dalam sebuah balai polis di Kashmir yang dikuasai India, berita Xinhua memetik laporan media tempatan pada Sabtu.

Letupan dilaporkan berlaku lewat Jumaat di balai polis Nowgam di Srinagar, ibu kota musim panas Kashmir yang dikuasai India.

“Sekurang-kurangnya tujuh orang terbunuh dan kira-kira 30 cedera selepas letupan besar merobek balai polis Nowgam di Srinagar lewat malam Jumaat, dengan pegawai memberi amaran angka boleh meningkat,” berita Xinhua memetik saluran berita televisyen tempatan India Today.

Dilaporkan, susulan letupan itu, api menyambar bangunan itu dan beberapa kenderaan diletakkan di dalam premisnya.
Saksi mata dan rakaman video dari kawasan itu dilaporkan menunjukkan letupan merobek bangunan, menghantar api dan asap tebal ke udara.

Xinhua melaporkan, menurut saluran itu, letupan berlaku ketika anggota polis dan pasukan forensik mengendalikan bahan letupan yang dibawa dari Faridabad (Haryana) dan disimpan di dalam balai polis sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas letupan bom kereta di Delhi baru-baru ini.

Satu lagi laporan media dilaporkan berkata, kebanyakan mereka yang terbunuh di balai polis adalah anggota polis dan pegawai pasukan forensik, yang sedang memeriksa bahan letupan.

Menurut berita Xinhua, polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai letupan itu setakat ini.

Satu letupan kereta maut dekat Kota Merah di Delhi pada Isnin membunuh lapan orang di tempat kejadian dan mencederakan 20 yang lain. Bagaimanapun, laporan media tempatan kemudiannya meletakkan angka kematian pada 13 orang, lapor Xinhua.