Serangan dron pada Ahad mencederakan orang awam di wilayah Belgorod dan merosakkan sebahagian saluran paip minyak dekat pelabuhan Laut Baltik Primorsk di barat laut, menurut pegawai Rusia, lapor Xinhua.
“Di kampung Zamostye, daerah Grayvoron, sebuah dron musuh menyerang sebuah bas mini yang bertujuan untuk mengangkut orang awam ke tempat kerja. Tujuh orang cedera”, kata Gabenor Wilayah Belgorod, Vyacheslav Gladkov, di saluran Telegramnya pada Ahad, menurut Xinhua.
Dia menambah bahawa seorang daripada yang cedera berada dalam keadaan serius.
Menurut Xinhua, di Wilayah Leningrad, Gabenor Alexander Drozdenko berkata pasukan pertahanan udara telah menembak jatuh 19 kenderaan udara tanpa pemandu pada pagi Ahad.
Serpihan merosakkan sebahagian saluran paip minyak dekat pelabuhan Primorsk, menyebabkan kebakaran.
“Tiada korban,” tambah Drozdenko di media sosial.
Serangan itu menyusuli beberapa serangan dron Ukraine ke atas pelabuhan Primorsk dan Ust-Luga pada akhir Mac. Pelabuhan Primorsk merupakan terminal minyak terbesar Rusia di Laut Baltik dan hab utama untuk eksport minyak mentah utama Rusia, Urals.
Awal minggu ini, Panglima Tertinggi (Commander-in-Chief) Angkatan Tentera Ukraine, Oleksandr Syrsky, menyifatkan serangan ke atas pelabuhan sebagai tugas strategik untuk merosakkan ekonomi Rusia.