Alkohol dikaitkan dengan beban kanser yang lebih tinggi di Australia – kajian

Pengambilan alkohol menyebabkan kadar kanser yang lebih tinggi di Australia berbanding anggaran sebelumnya, menurut kajian baharu pada Khamis, lapor Xinhua.

Kajian itu menganggarkan sekitar 4.6 peratus daripada semua kanser di Australia disebabkan oleh pengambilan alkohol, yang juga meningkatkan risiko menghidap kanser sebanyak 19 peratus, menurut kenyataan Universiti Sydney, yang mengetuai kajian itu.

Menurut Xinhua, kajian yang diterbitkan dalam British Journal of Cancer itu menganalisis tingkah laku pengambilan alkohol dalam kalangan 225,000 orang dalam Kajian 45 & Ke Atas negeri New South Wales, Australia.

“Kanser merupakan punca utama kematian pramatang di Australia dan, sementara sains mengenai punca kanser terus berkembang, bukti kini jelas bahawa mengurangkan pengambilan alkohol merupakan strategi yang berkesan untuk mencegah kanser,” kata penulis utama kajian itu, Peter Sarich dari Sekolah Kesihatan Awam Universiti Sydney, lapor Xinhua.

Penyelidik menganggarkan lebih 7,800 kes kanser yang didiagnosis di Australia pada 2024 adalah disebabkan oleh alkohol, melebihi anggaran sebelumnya antara 2.8 peratus dan 4.1 peratus.

Kajian itu mendapati risiko kanser meningkat dengan peningkatan pengambilan alkohol. Bagi setiap 10 minuman yang diminum setiap minggu, risiko kanser meningkat sebanyak 19 peratus.

Risiko meningkat sebanyak 46 peratus untuk kanser hati, 27 peratus untuk kanser mulut, tekak, larinks dan esofagus, 18 peratus untuk kanser payudara, dan 16 peratus untuk kanser kolorektal, menurut kajian itu.

Jika rakyat Australia mengikuti garis panduan kebangsaan tidak lebih daripada 10 minuman seminggu, lebih daripada 3,700 kes kanser berkaitan alkohol setiap tahun dapat dicegah, kata Sarich, sambil menambah bahawa hanya sekitar separuh penduduk menyedari bahawa alkohol menyebabkan kanser.