Pezeshkian, Larijani antara pegawai tertinggi Iran berarak di perhimpunan Hari al-Quds Tehran

Presiden Iran Masoud Pezeshkian dan Ali Larijani, setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi, adalah antara ramai pegawai tertinggi Iran yang berarak di Tehran untuk perarakan tahunan Hari al-Quds, lapor Aljazeera.

Pegawai penting lain yang hadir termasuk Menteri Luar Abbas Araghchi dan ketua hakim Mahkamah Agung, Gholam-Hossein Mohseni-Ejei, menurut imej media kerajaan, lapor Aljazeera.

Kemunculan mereka di khalayak ramai berlaku ketika ketua Pentagon Pete Hegseth mendakwa bahawa pemimpin Iran telah “bersembunyi di bawah tanah”.

Hari Al-Quds ialah hari antarabangsa tahunan untuk menyatakan sokongan kepada Palestin dan menentang pendudukan Israel di wilayah Palestin. Al-Quds ialah nama Arab untuk Baitulmaqdis.

Menurut Aljazeera, seperti yang ia laporkan sebelum ini, seorang terbunuh selepas beberapa letupan kedengaran di sekitar perarakan itu.