Iran berhak pastikan keselamatannya – utusan Rusia ke PBB

Iran berhak memastikan keselamatannya sendiri dan hak untuk tidak membenarkan serangan terhadap orang awam dan infrastruktur awam, Wakil Tetap Rusia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Vasily Nebenzya memberitahu media pada Jumaat, lapor Xinhua.

“Situasi ini sangat mengerikan dan kami menyeru penyelesaian diplomatik. Dan mereka yang menentang ini – dan itulah pendirian yang mereka ambil dengan tidak mengundi resolusi kami – telah menunjukkan bahawa tanggungjawab itu terletak pada mereka,” kata Nebenzya kepada RT.

Diplomat Rusia itu merujuk kepada resolusi tajaan Rusia yang menangani konflik ketenteraan yang sedang berlaku di Timur Tengah, yang gagal diluluskan di Majlis Keselamatan PBB pada Rabu.

Draf resolusi yang menggesa semua pihak untuk segera menghentikan tindakan ketenteraan telah ditolak dengan undian empat menyokong, dua menentang dan sembilan berkecuali. Rusia, China, Pakistan dan Somalia mengundi menyokong, manakala Amerika Syarikat dan Latvia mengundi menentangnya.

Nebenzya juga berkata bahawa “blitzkrieg” AS-Israel terhadap Iran telah gagal.

“Kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Blitzkrieg gagal. Rejim Iran, seperti yang mereka panggil, tidak runtuh. Rakyat tidak memberontak menentangnya. Nampaknya tiada strategi keluar untuk Amerika Syarikat dalam permainan ini,” kata Nebenzya.