Berpuluh-puluh khemah yang melindungi keluarga terlantar dinaiki air hujan di kawasan Al-Mawasi di Khan Younis di selatan Jalur Gaza, lapor Anadolu memetik Pertahanan Awam pada Ahad.
Bagi hari ketiga berturut-turut, Gaza telah terjejas oleh kemelesetan cuaca yang disertai dengan udara sejuk, hujan dan angin kencang, dengan ramalan meteorologi menjangkakan ia akan reda menjelang petang Ahad, menurut laporan Anadolu.
Angin ribut telah menyebabkan beribu-ribu khemah runtuh atau diterbangkan, menyebabkan keluarga tinggal di jalanan dan memaksa ramai untuk mencari perlindungan di dalam bangunan musnah yang menimbulkan risiko keselamatan serius.
Dalam satu kenyataan, Pertahanan Awam Gaza memperbaharui amaran tentang “risiko bangunan yang musnah, struktur tidak stabil runtuh menimpa penghuninya” akibat hujan lebat dan angin.
“Kami telah merekodkan bencana berskala besar yang disebabkan oleh ribut yang melanda Gaza di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dilakukan oleh Israel selama dua tahun genosid,” jurucakap Mahmoud Basal dilapor berkata.
Dia merayu kepada masyarakat antarabangsa untuk memikul tanggungjawabnya dan memberikan bantuan segera kepada rakyat Palestin di Gaza.
“Setiap detik yang berlalu membawa lebih banyak bahaya dan kesakitan kepada rakyat Palestin.”
Anadolu melaporkan, menurut Pejabat Media Gaza, 1.5 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal di Gaza, hidup dalam keadaan bencana dengan sedikit akses kepada keperluan asas dan perkhidmatan penting yang sangat terhad disebabkan oleh sekatan berterusan Israel.
Israel telah membunuh lebih 69,000 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dalam serangan di Gaza sejak Oktober 2023 dan menjadikannya runtuhan.