5 maut, 2 cedera dalam kemalangan kenderaan di Colorado AS

Lima orang, termasuk tiga kanak-kanak, terbunuh dan dua lagi cedera dalam nahas pelbagai kenderaan di negeri Colorado Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa tempatan, Xinhua melaporkan.

Menurut kenyataan Colorado State Patrol (CSP), kemalangan itu berlaku sejurus selepas 4:30 petang Isnin waktu tempatan, membabitkan Toyota hatchback, sedan Ford dan pikap Ford di Lebuhraya 83 dekat Franktown, sebuah pekan kecil kira-kira 50 km ke selatan Denver.

Toyota itu dalam perjalanan ke selatan apabila pemandu hilang kawalan dan terkeluar dari bahu kanan, kemudian ia kembali ke jalan raya dan terguling ke lorong arah utara, pemandu terkeluar, CSP dilapor berkata.

Sedan Ford itu dikatakan dalam perjalanan ke arah utara apabila Toyota melanggarnya. Toyota itu, selepas merempuh sedan Ford, terus bergerak ke arah selatan di lorong arah utara dan melanggar pikap Ford, menyebabkan kerosakan kecil.

Pemandu Toyota dan sedan Ford itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Tiga daripada lima kanak-kanak dalam sedan itu turut terbunuh, dan dua yang tinggal telah dihantar ke kemudahan perubatan berhampiran, menurut CSP.

Pihak berkuasa dilapor berkata punca hilang kawalan Toyota itu dalam siasatan, dengan Unit Jenayah Kenderaan CSP mengetuai siasatan. Toyota itu telah dilaporkan dicuri kira-kira sejam sebelum nahas, CSP dilapor berkata.