Suspek dalam tembakan dua anggota Pengawal Kebangsaan AS dekat Rumah Putih pada Rabu dikenal pasti sebagai warga Afghanistan yang memasuki Amerika Syarikat (AS) pada 2021, lapor media AS, menurut Xinhua.
Suspek, yang dikenal pasti sebagai Rahmanullah Lakanwal, 29 tahun, telah menetap di negeri Washington, Xinhua memetik laporan NBC News, memetik sumber penguatkuasaan undang-undang kanan.
Pihak berkuasa masih berusaha untuk mengesahkan semua butiran mengenai individu yang kini dalam tahanan, menurut laporan itu.
Serangan itu berlaku kira-kira jam 14:15 waktu tempatan (19:15 GMT) dekat Stesen Metro Dataran Farragut, menurut kenyataan Pasukan Petugas Bersama DC, yang menyelia penempatan Pengawal Kebangsaan ke Washington, lapor Xinhua.
Dalam catatan media sosial, Presiden AS Donald Trump dilapor berkata, dua pengawal itu, kedua-duanya “cedera kritikal” berada di dua hospital berasingan, dan lelaki bersenjata itu juga cedera parah.
Gabenor Virginia Barat, Patrick Morrisey dilaporkan mengesahkan dalam catatan di X bahawa mereka yang cedera adalah dari Pengawal Kebangsaan Virginia Barat.
Ketika kejadian itu berlaku, Trump berada di pusat peranginannya di Palm Beach menjelang cuti Thanksgiving pada Khamis, manakala Naib Presiden AS JD Vance berada di Kentucky, menurut Xinhua memetik laporan Reuters.
“Rumah Putih sedar dan aktif memantau situasi tragis ini. Presiden telah diberi taklimat,” setiausaha akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt dilapor sebagai berkata dalam satu kenyataan.
Selepas tembakan itu, Setiausaha Pertahanan AS Pete Hegseth dilapor berkata pada Rabu bahawa Trump memintanya menghantar 500 lagi anggota Pengawal Kebangsaan ke Washington.
Pada Ogos, Trump meletakkan jabatan polis di Washington di bawah kawalan persekutuan langsung dan mengerahkan Pengawal Kebangsaan ke ibu negara.
Lebih 2,000 askar Pengawal Kebangsaan sedang bertugas di Washington, menurut beberapa laporan media, lapor Xinhua.