Seorang kakitangan kerajaan maut dan seorang lagi cedera selepas tanah runtuh menimbus mereka di lebuh raya nasional di perbandaran Santa Praxedes, wilayah Cagayan, di utara Filipina pada pagi Jumaat, lapor Xinhua.
Pegawai Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Perbandaran, Marlene Miralles dilapor memberitahu radio tempatan, pekerja Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya telah ditempatkan dekat sempadan Ilocos Norte-Cagayan untuk menilai tanah runtuh yang lebih awal, lebih kecil yang telah menutup lebuh raya apabila gelongsor yang lebih besar berlaku sebelum 8 pagi waktu tempatan, menimbus kedua-duanya.
Pasukan penyelamat berjaya mendapatkan kedua-dua mangsa, tetapi seorang cedera parah dan disahkan meninggal dunia di hospital berdekatan, lapor Xinhua, dengan seorang lagi pekerja, yang mengalami kecederaan lengan, berada dalam keadaan stabil.
Miralles dilapor berkata, anggota pasukan ketiga menyaksikan kejadian itu dan segera meminta bantuan.
Menurutnya, hujan berterusan selama seminggu telah menggemburkan tanah, mencetuskan tanah runtuh.