Serangan udara Israel awal Jumaat mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, di pekan Beit Jinn di kawasan pedalaman barat daya Damsyik, berikutan pertempuran yang dilaporkan antara tentera Israel dan penduduk tempatan, berita Xinhua memetik media kerajaan Syria.
Menurut Xinhua, TV Al-Ekhbariya milik kerajaan Syria melaporkan, beberapa lagi masih terperangkap di bawah runtuhan kerana usaha menyelamat terhalang oleh aktiviti dron Israel yang berterusan di kawasan itu.
Penyiar itu dilapor berkata, serangan itu dilakukan sejurus selepas rondaan tentera Israel dilaporkan memasuki Beit Jinn dan dikelilingi penduduk tempatan, menyebabkan berlakunya tembakan sebelum rondaan berundur dan serangan udara dipergiatkan.
Memetik sumber perubatan, Al-Ekhbariya dilapor berkata, mayat seorang wanita tiba di Hospital Al-Mouwasat di Damsyik, bersama 11 yang cedera, termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak, mengalami kecederaan dari sederhana hingga teruk.
Saluran itu juga melaporkan gelombang perpindahan, dengan berpuluh-puluh keluarga melarikan diri dari Beit Jinn menuju ke pekan dan kampung berdekatan yang dianggap lebih selamat, di tengah-tengah penerbangan dron yang berterusan di sepanjang jalan antara Beit Jinn dan Mazraat Beit Jinn.
Sementara itu, Pertahanan Awam Syria dilapor berkata di saluran Telegram rasminya bahawa pasukannya tidak dapat memasuki pekan untuk memindahkan mangsa yang cedera atau menilai kerosakan akibat bahaya yang ditimbulkan oleh senjata yang tidak meletup dan sasaran berterusan Israel terhadap pergerakan di sekitar pintu masuk pekan itu.
Ia memberi amaran bahawa halangan usaha menyelamat meletakkan nyawa orang awam dalam risiko lebih lanjut.
Laporan awal mengatakan tentera Israel telah berundur dari pekan itu dan mengambil kedudukan di atas bukit Bat al-Warda di pinggirnya.
Tiada angka rasmi masih dikeluarkan berhubung jumlah korban atau tahap kemusnahan, lapor Xinhua.