Angka kematian akibat kebakaran maut Hong Kong meningkat kepada 128, dengan ratusan hilang

Angka kematian akibat kebakaran paling teruk di Hong Kong dalam beberapa dekad meningkat kepada 128 orang setakat Jumaat, dengan pihak berkuasa berkata mereka telah mengawal kebakaran, yang memusnahkan kompleks kediaman di daerah Tai Po, lapor Anadolu memetik media tempatan.

Seorang anggota bomba adalah antara yang maut, manakala 79 orang cedera, termasuk 11 anggota bomba, Anadolu memetik laporan South China Morning Post.

Operasi menyelamat dilaporkan sedang dijalankan, walaupun kebakaran di semua blok kompleks pangsapuri Wang Fuk Court telah dapat dikawal.

Setiausaha Keselamatan Chris Tang Ping-keung melaporkan bahawa jumlah kematian telah melepasi 100, kini mencecah 128, dan memberi amaran lebih banyak mayat masih boleh ditemui.

Pihak berkuasa telah menerima 467 laporan individu hilang. Selain itu, kira-kira 200 orang berada dalam “situasi tidak menentu” termasuk 80 mayat yang “tidak dapat dikenal pasti”, kata Tang.

Menurut Anadolu, terdahulu, akhbar harian melaporkan bahawa 280 orang masih hilang berikutan kejadian itu.

Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee Ka-chiu sebelum ini berkata kebakaran di tujuh bangunan itu telah dapat dikawal.

Kebakaran berlaku sekitar tengah hari Rabu di kompleks itu, yang terdiri daripada lebih 1,900 pangsapuri, dan merebak dengan cepat berikutan perancah buluh yang dipasang di bahagian luar untuk kerja pengubahsuaian.

Kompleks itu terdiri daripada lapan menara dengan anggaran lebih 4,000 penduduk.

Pihak berkuasa dilapor berkata, perancah buluh yang didirikan untuk pengubahsuaian dan bahan plastik buih yang menutup tingkap menyumbang dengan ketara kepada api merebak dengan cepat.

“Kami mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa individu yang bertanggungjawab di syarikat itu cuai, yang menyebabkan api merebak dengan cepat dan menyebabkan banyak kematian,” Superintendan Kanan Eileen Chung Lai-yee dilapor berkata.

Lebih 140 kenderaan pemadam kebakaran dan lebih 800 anggota kecemasan dan bomba dilapor dikerahkan ke tempat kejadian.