Seramai 10 warga Afghanistan terbunuh selepas pengawal sempadan Iran melepaskan tembakan ke arah mereka di sempadan di wilayah Farah di barat Afghanistan ketika mereka cuba memasuki negara jiran itu secara haram, kata satu kenyataan dari pejabat polis wilayah pada Selasa, lapor Xinhua.
Jurucakap polis wilayah Mawlawi Mohammad Nasim Badri dilapor berkata dalam kenyataan itu, warga Afghanistan, semua penduduk wilayah Farah, cuba menyelinap ke Iran apabila pengawal sempadan Iran melepaskan tembakan, membunuh mereka di tempat kejadian.
Dua lagi masih hilang berikutan kejadian itu, pegawai itu dilapor berkata, tanpa memberikan butiran lanjut.
Iran telah mengusir beribu-ribu warga Afghanistan sejak awal tahun ini dan telah meminta warga asing yang tinggal di negara itu tanpa dokumen sah untuk pergi. Namun ramai rakyat Afghanistan terus meninggalkan tanah air mereka setiap hari untuk melarikan diri daripada pengangguran dan kemiskinan.