Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan tiga lagi parah selepas kebakaran berlaku petang Khamis di sebuah hartanah yang berfungsi sebagai restoran dan bar karaoke di bandar Huancane di wilayah selatan Peru di Puno, menurut Xinhua memetik laporan agensi berita negeri Andina pada Jumaat.
Kemalangan itu mungkin berpunca daripada letupan tangki gas atau silinder semasa sambutan hari lahir sekumpulan pelajar, Xinhua memetik laporan itu.
Pihak berkuasa tempatan mengesahkan antara yang maut, lapan lelaki dan dua wanita, manakala yang cedera dikejarkan ke hospital.
Laporan awal menyebut api merebak dengan pantas dan ketiadaan anggota bomba memaksa jiran dan orang ramai yang lalu-lalang cuba mengawal api dengan baldi air dan alat pemadam api.
Dilaporkan, Valerio Tapia, datuk bandar Huancane, memberitahu akhbar bahawa ketibaan lewat anggota bomba memburukkan keadaan kerana bandar itu tidak mempunyai unit bomba sendiri.