Aktivis panjat Gate Brandenburg ikonik protes ‘persubahatan’ Jerman dalam genosid di Gaza

Aktivis pro-Palestin memanjat Gate Brandenburg yang ikonik di Berlin dan membuka sepanduk besar pada Khamis dalam protes terhadap sokongan Jerman berhubung serangan tentera Israel di Gaza, menurut laporan Anadolu.

Para aktivis menggunakan trak angkat untuk sampai ke puncak mercu tanda bersejarah itu di Pariser Platz.

Mereka mempamerkan sepanduk yang tertulis: “Genosid: Tidak Akan Lagi — Kebebasan untuk Palestin” dan kekal di atas struktur itu untuk beberapa waktu, mengibarkan bendera Palestin dan melaungkan slogan.

Polis Berlin dilapor berkata, enam aktivis telah ditangkap di tempat kejadian kerana memasuki monumen bersejarah itu secara haram menggunakan trak angkat.

Demonstrasi itu dikatakan mencerminkan penentangan awam yang semakin meningkat terhadap dasar kerajaan Jerman di Gaza.

Canselor Friedrich Merz, penyokong kuat Israel, telah berulang kali menekankan tanggungjawab sejarah Jerman terhadap keselamatan Israel yang berpunca daripada era Nazi dan Holocaust.

Pemimpin konservatif itu telah menentang seruan penggubal undang-undang pembangkang untuk embargo senjata ke atas Israel di tengah-tengah kempen ketenteraan yang kejam di Gaza, menolak cadangan untuk menggantung perjanjian perdagangan EU-Israel, dan menentang pengiktirafan negara Palestin.

Tinjauan terbaru menunjukkan jurang yang semakin melebar antara pendirian kerajaan dan pendapat umum Jerman mengenai konflik Timur Tengah.

Satu tinjauan ARD mendapati 63% rakyat Jerman menentang serangan Israel di Gaza, manakala 55% mahu kerajaan Merz menyokong sekatan EU ke atas Israel, lapor Anadolu.

Menurut Anadolu, satu tinjauan YouGov yang berasingan menunjukkan 62% rakyat Jerman menggambarkan tindakan Israel di Gaza sebagai genosid.