Media Iran dilapor menerbitkan senarai jambatan utama di seluruh rantau itu pada Khamis, membayangkan pembalasan “balas balik” susulan serangan AS-Israel ke atas jambatan utama di bandar utara Karaj.
Menurut berita Anadolu, memetik agensi berita Fars mengatakan beberapa jambatan terkemuka di negara-negara serantau mungkin menjadi sasaran selepas dua serangan menghentam jambatan B1 awal Khamis.
Senarai itu termasuk Jambatan Laut Sheikh Jaber Al-Ahmad Al-Sabah di Kuwait, Tambak Raja Fahd yang menghubungkan Arab Saudi ke Bahrain, Jambatan Sheikh Zayed dan Jambatan Sheikh Khalifa di Emiriah Arab Bersatu (UAE), serta Jambatan Raja Hussein, Jambatan Damia, dan Jambatan Abdoun di Jordan.
AS dan Israel melakukan dua serangan awal Khamis ke atas jambatan B1, sebuah rangkaian pengangkutan penting di Karaj di wilayah Alborz, lapor Anadolu.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan bahagian utama jambatan runtuh susulan serangan itu.
Menurut laporan media, jambatan B1 merupakan salah satu projek kejuruteraan moden Iran yang terkenal, yang menjangkau kira-kira 1,000 meter dan direka untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas antara Tehran dan Karaj serta memudahkan pergerakan ke arah wilayah utara negara itu.
Dalam pada itu, berita Aljazeera melaporkan 8 maut dalam serangan di jambatan itu.