Pasukan Pertahanan Israel pada Jumaat berkata ia menemui mayat sembilan militan Palestin yang terbunuh dalam terowong di selatan Jalur Gaza, lapor Xinhua.
Tentera Israel dilapor berkata dalam satu kenyataan, mayat-mayat itu ditemui dalam infrastruktur “keganasan” bawah tanah di timur Rafah, sambil menambah bahawa militan berkemungkinan besar terbunuh semasa usaha berterusan tentera untuk membongkar tapak infrastruktur melalui serangan udara dan “langkah-langkah kejuruteraan”.
Menurut tentera Israel, lebih 30 militan yang cuba melarikan diri dari infrastruktur bawah tanah di timur Rafah telah terbunuh setakat ini.
Ia dilapor berkata, pengejaran militan yang melarikan diri dari terowong diteruskan.
Hamas pada Rabu dilaporkan menggesa pengantara untuk menekan Israel supaya membenarkan laluan selamat untuk berpuluh-puluh pejuangnya yang terperangkap dalam terowong di selatan Gaza – pengakuan awam pertama oleh kumpulan itu bahawa anggotanya terkurung di bawah tanah.
Menurut Xinhua, media Israel telah melaporkan selama berminggu-minggu bahawa 100 hingga 200 militan Hamas kekal terperangkap dalam rangkaian terowong di bawah Rafah, di wilayah yang kini dikawal oleh tentera Israel.