Pentagon mengumumkan pada Khamis, Jeneral Randy A George akan bersara daripada peranannya sebagai Ketua Staf Tentera Darat ke-41 “berkuat kuasa serta-merta”, menurut berita Anadolu.
Dalam satu kenyataan ringkas, Jabatan Pertahanan merakamkan penghargaan atas perkhidmatan ketenteraan George selama beberapa dekad.
Jabatan itu “bersyukur atas perkhidmatan Jeneral George selama beberapa dekad kepada negara kita. Kami mendoakan semoga dia berjaya dalam persaraannya,” kata jurucakap Pentagon, Sean Parnell dalam satu kenyataan.
Menurut Anadolu, terdahulu CBS News melaporkan Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, meminta Jeneral George untuk meletak jawatan dan bersara serta-merta.
George memulakan tugasnya sebagai ketua staf Tentera Darat AS pada 21 September 2023.
Ketua staf tentera biasanya memegang jawatan itu selama penggal empat tahun.
Lebih sedozen pegawai kanan telah dipecat oleh Hegseth, termasuk Pengerusi Ketua Staf Bersama Jeneral C Q Brown, Ketua Operasi Tentera Laut Laksamana Lisa Franchetti, Naib Ketua Staf Tentera Udara Jeneral James Slife dan ketua Agensi Perisikan Pertahanan Leftenan Jeneral Jeffrey Kruse.