Tanah runtuh menimbus dua rumah, mengorbankan lapan orang termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, di pulau Pasifik Perancis, di Tahiti, kata pihak berkuasa pada Khamis dalam angka terakhir, menurut berita AFP disiarkan oleh Arab News.
Bencana itu dilaporkan berlaku pada waktu fajar pada Rabu — lewat petang di tanah besar Perancis — di perkampungan timur Afaahiti selepas seminggu hujan lebat.
Mereka yang terbunuh juga membabitkan tiga wanita dan empat lelaki, pendakwa raya tempatan Solene Belaouar dilapor berkata, sambil menambah bahawa semua yang hilang telah ditemui mati.
Seorang penduduk Afaahiti dilapor memberitahu AFP dia telah dikejutkan awal Rabu oleh bunyi seperti kereta api di luar rumahnya.
“Kami pergi ke luar dan melihat sebuah rumah telah tertutup sepenuhnya oleh tanah dan lumpur,” Ida Labbeyi dilapor berkata.
Operasi menyelamat dilaporkan terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam selepas tanah runtuh kedua hampir menghanyutkan anggota pasukan penyelamat.
Tahiti, hampir 16,000 kilometer (9,950 batu) dari Paris ialah salah satu daripada beberapa wilayah luar negara Perancis yang merentangi Caribbean dan Pasifik.
Polinesia Perancis membabitkan lebih daripada 100 pulau, termasuk Tahiti.