Pakistan dan Afghanistan berbalas tembakan sengit di sempadan mereka lewat Jumaat, kata pegawai kedua-dua negara, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak berikutan rundingan damai yang gagal awal minggu ini, lapor Reuters.
Tiada laporan segera mengenai kemalangan jiwa.
Jurucakap Taliban Afghanistan Zabihullah Mujahid dilapor berkata, pasukan Pakistan melancarkan serangan di daerah Spin Boldak di wilayah Kandahar.
Jurucakap Perdana Menteri Pakistan dilapor menuduh pasukan Afghanistan “menembak tanpa provokasi” di sempadan Chaman.
“Pakistan kekal berwaspada sepenuhnya dan komited untuk memastikan integriti wilayahnya dan keselamatan rakyat kami,” kata jurucakap Mosharraf Zaidi dalam satu kenyataan, menurut Reuters.
Menurut Reuters, berbalas tembakan itu berlaku dua hari selepas pusingan baharu rundingan damai antara negara jiran Asia Selatan itu berakhir tanpa kejayaan, walaupun kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan gencatan senjata mereka yang rapuh.
Rundingan di Arab Saudi hujung minggu lalu adalah yang terbaharu dalam siri mesyuarat yang dianjurkan oleh Qatar, Turki dan Arab Saudi bertujuan untuk meredakan ketegangan berikutan pertempuran sempadan yang membawa maut pada Oktober lalu.
Di tengah-tengah pertikaian itu, Islamabad dilapor berkata militan yang berpangkalan di Afghanistan telah melakukan serangan baru-baru ini di Pakistan, termasuk pengeboman berani mati yang melibatkan warga Afghanistan. Kabul menafikan pertuduhan itu, berkata ia tidak boleh dipertanggungjawabkan untuk keselamatan di dalam Pakistan.
Berdozen dilaporkan terbunuh dalam pertempuran Oktober lalu, keganasan terburuk di sempadan sejak Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan pada 2021.