Serangan dron cetus kebakaran di kilang penapisan utama Kuwait

Kuwait Petroleum Corporation berkata pada Jumaat, serangan dron menyasarkan kilang penapisan Mina Al Ahmadi awal pagi, menyebabkan kebakaran di beberapa unit operasi, lapor Xinhua.

Menurut Xinhua, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Berita Kuwait, syarikat itu mengesahkan pasukan kecemasan dan pemadam kebakaran segera dihantar untuk membendung kebakaran dan mencegah penyebaran selanjutnya.

Tiada kecederaan dilaporkan, dan langkah berjaga-jaga telah diambil bagi memastikan keselamatan kakitangan dan melindungi kemudahan, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengawal Kebangsaan Kuwait berkata tahap radiasi kekal normal di seluruh negara, menolak laporan media sosial mengenai potensi kebocoran radioaktif, sambil menambah bahawa pemantauan sedang dijalankan sepanjang masa dengan penyelarasan dengan pihak berkuasa berkaitan.

Kilang penapisan itu telah dilanda serangan dron yang serupa bulan lalu, yang turut menyebabkan kebakaran di unit tertentu tanpa mengakibatkan kecederaan.

Insiden itu berlaku di tengah-tengah ketegangan serantau yang memuncak susulan serangan bersama AS-Israel ke atas Iran yang bermula pada 28 Feb lalu.