Seorang wartawan foto Palestin terbunuh dalam serangan Israel di selatan Jalur Gaza pada Selasa, walaupun perjanjian gencatan senjata ditaja oleh Presiden AS Donald Trump, menurut laporan Anadolu.
Sumber perubatan dilapor memberitahu Anadolu, wartawan foto Mahmoud Wadi kehilangan nyawanya dalam serangan dron Israel di tengah Khan Younis, kawasan yang tidak termasuk di bawah zon kuning yang dikawal Israel.
Tiada kenyataan rasmi daripada Pejabat Media Kerajaan Gaza mengenai pembunuhan itu, menurut Anadolu.
Menurut angka terkini yang diterbitkan oleh pejabat itu pada akhir Oktober, Israel telah membunuh 256 wartawan di Gaza sejak 8 Okt 2023 dan kematian Wadi menjadikan jumlah korban kepada 257 orang, lapor Anadolu.
Bapa Wadi, Issam, menyifatkan serangan Israel itu sebagai “gempa bumi yang melanda khemah”.
“Saya tidak pernah menjangka akan kehilangan Mahmoud, yang bukan hanya anak saya tetapi seorang kawan, kerana dia dibesarkan dalam studio fotografi,” bapa yang bersedih itu dilapor berkata kepada Anadolu.
“Mahmoud sedang bergambar di kawasan selamat (bukan di bawah kawalan Israel mengikut perjanjian gencatan senjata), tetapi Israel tidak menghormati ikrar atau janji; seluruh hidup mereka adalah pengkhianatan dan penipuan,” dia dilapor berkata.
Bapa Palestin itu menyifatkan pembunuhan anaknya sebagai “tindakan jenayah yang dilakukan oleh pendudukan Israel”.
“Mereka (Israel) akan berterusan sehingga memusnahkan seluruh dunia,” dia dilapor berkata.
Rakan sekerja wartawan foto yang terbunuh itu, Muhammad Abu Ubaid, wartawan TV Al-Alam di Gaza, dilapor berkata, Wadi “terkenal dengan kerja kemanusiaan dan membantu orang ramai”.
“Dia mungkin tidak dikenali oleh semua orang, tetapi orang miskin dan orang yang menderita mengenalinya dengan baik, kerana dia menumpukan masanya untuk membantu mereka,” dia dilapor berkata kepada Anadolu.
“Wadi adalah seorang yang berhati suci. Saya duduk bersamanya malam tadi, kami banyak bercakap, dan dia memberitahu saya mengenai rancangannya untuk membesarkan anak lelakinya yang masih kecil, yang merupakan seluruh dunianya.”
“Kami ada temu janji hari ini di Hospital Nasser (di Khan Younis), tetapi saya mendapat tahu dia telah syahid,” Abu Ubaid dilapor berkata dalam tangisan.
“Dunia senyap dan memerhati, dan pendudukan (Israel) terus membunuh kami dan membunuh wartawan walaupun ada perjanjian.”
Institusi media antarabangsa telah berulang kali menyeru Israel untuk menghentikan serangan maut ke atas wartawan Palestin di Jalur Gaza, tetapi Tel Aviv tidak mengendahkan rayuan ini.
Rakyat Palestin melihat sasaran sengaja terhadap wartawan Palestin oleh tentera Israel di Jalur Gaza sebagai cubaan untuk menutup jenayahnya di wilayah itu, menurut Anadolu.
Perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa di Gaza pada 10 Oktober di bawah rancangan Trump di Gaza, menghentikan dua tahun serangan Israel yang telah membunuh lebih 70,000 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan mencederakan lebih 171,000 yang lain sejak Oktober 2023.
Israel telah berulang kali melanggar perjanjian itu dengan melepaskan tembakan ke atas orang awam Palestin di kawasan yang tidak dikawalnya di bawah perjanjian itu, manakala kumpulan Palestin Hamas telah mengumumkan komitmen penuhnya terhadap syarat perjanjian itu dan menggesa AS menekan Israel supaya mematuhinya.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sekurang-kurangnya 367 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 900 lagi cedera dalam serangan Israel sejak gencatan senjata, lapor Anadolu.